Zakat Fitrah Rukun Islam ke-4

Tanpa kita sedar, bulan Ramadhan semakin menghampiri tidak lama lagi. Bercerita mengenai bulan Ramadhan, terdapat beberapa idea yang disinonimkan dengannya iaitu bazaar Ramadhan, tarawih, hari raya dan zakat fitrah. Perkara yang terakhir tersebut mungkin hanya biasa didengar oleh para ketua keluarga, namun setiap individu muslim harus mengetahui apakah sebenarnya zakat fitrah.

Pengertian

Zakat dari segi bahasa membawa maksud suci, bersih, subur dan bertambah manakala fitrah pula diertikan sebagai tabiat manusia yang suci bersih.

Secara istilahnya, zakat fitrah ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Kewajipan menunaikannya telah bermula seawal tahun kedua Hijrah lagi, selari dengan tahun bermulanya kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan. Hikmah diwajibkan menunaikan zakat fitrah adalah untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari sifat-sifat buruk seperti tamak dan bakhil.

Syarat Wajib

Menurut hasil perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003, hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu;

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

Waktu untuk menunaikan zakat fitrah

Setiap individu muslim yang berniat mengeluarkan zakat haruslah peka pada waktu-waktu yang ditetapkan untuk menunaikan zakat. Waktu-waktu tersebut terbahagi kepada;

  1. Waktu harus – bermula awal bulan Ramadhan hingga akhir bulan Ramadhan
  2. Waktu wajib – selepas terbenam matahari pada hari terkahir bulan Ramadhan
  3. Waktu afdhal (sunat) – selepas solat subuh pada hari akhir Ramadhan hinga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidilfitri
  4. Waktu makruh – selepas sembahyang sunat Aidilfitri sehingga sebelum terbenam matahari
  5. Waktu haram – selepas terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri

Kadar bayaran

Kaedah pembayaran zakat fitrah ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Hal ini telah dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry yang bermaksud;

“…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya”

(Hadis riwayat Muslim)

Asal kadar zakat fitrah adalah satu sha (gantang) dan nilainya seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh iaitu 2.751 kg. Dan di sisi mazhab Hanafi ialah 3.8 kg.

Dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 seperti berikut:

  1. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.
  2. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.

Lokasi pembayaran

Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada lokasi seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah. Walaupuyn begitu, melihat kepada realiti semasa, dengan melihat pendapat ihtiyat iaitu mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Jelasnya,

Zakat fitrah merupakan satu tanggunjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim yang berkemampuan. Semoga segala info yang telah dikongsikan dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca.

Untuk mengetahui tentang pelbagai kaedah pembayaran zakat Wilayah Persekutuan klik di sini.

Kredit: Pusat Pungutan Zakat – MAIWP

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *